KISAH
LIMA PERKARA ANEH
Abu Laits as-Samarqandi adalah
seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku
menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam
bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang
menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang
berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi
menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat
(hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah,
keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau
daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun
keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya
ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata,
"Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu
yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju
ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya,
tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka
Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa
sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan
perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan
arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah
lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba
mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga
tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku
telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya
tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat
ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan,
tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung
kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah,
tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya
merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam
bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang
menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar
dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan
harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan
dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi
kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan
untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan
kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung
kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi
meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai
yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan
menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa
itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam
doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu
sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti
semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu
oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada
mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat
mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada
madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi),
walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah
menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika
orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya
meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah
(menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk
berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah
ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini
sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat
kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat
seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa
kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah
hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat
pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah,
sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia
dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini
adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini
haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi
kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah
kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.